
Wakil pemaju tiba di kampung itu kira-kira 10 pagi sambil ditemani beberapa anggota polis, tetapi penduduk tidak berganjak.
Pemaju berkata, pengusiran dan perobohan 12 rumah itu perlu diteruskan hari ini kerana penduduk sudah diberikan notis 44 hari untuk keluar dari tanah miliknya.
Tetapi, penduduk mahu pemaju memberi lanjutan tempoh tujuh hari lagi. Kini, bekalan elektrik ke 12 rumah itu sudah dipotong.
Minggu lalu, kumpulan penduduk itu menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk membantah pengusiran itu.
Selepas Pemaju meminta 12 keluarga keluar dari tanah yang didiami mereka hampir 40 tahun menjelang 2 Mei.
Selepas berbincang, pemaju bersetuju memberi 12 keluarga itu sehingga 11 Mei ini untuk berpindah dan meneruskan perobohan enam rumah yang sudah dikosongkan.
Perobohan itu bermula kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Saifuddin Shafi, pembantu Amirudin berkata, beliau mendapat tiga rumah untuk menempatkan beberapa keluarga setakat ini dan berharap dapat mencari lebih banyak rumah dalam tempoh beberapa hari ini.
“Saya akan bantu cari sebuah generator memandangkan cuaca panas ketika ini,” katanya yang juga penyelaras negeri untuk kawasan Batang Kali, selepas kerusi itu diisytiharkan kosong Februari lalu.
Beliau berkata, Amirudin akan membantu keluarga itu berpindah melalui skim perumahan Rumah Selangorku.
Maszahar Hashim, yang mengetuai jawatankuasa mencabar pengusiran 12 keluarga itu, berkata penduduk sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi tarikh pendengaran belum ditetapkan.