
Ras Adiba yang juga golongan kurang upaya (OKU) berkata, keputusan mahkamah itu ialah peringatan kepada semua pihak untuk tidak menganiaya dan mendera OKU, terutama anak yang tidak boleh bersuara untuk diri.
“Selepas kes adik Bella ini, saya harap tidak ada orang yang akan mempermainkan golongan OKU lagi, terutamanya anak-anak.
“Saya memohon semua orang memastikan apa yang berlaku kepada Bella ini tak berlaku kepada anak OKU lain,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen.
Beliau berharap semua pihak menjadi mata dan telinga dalam melindungi OKU dan selaku aktivis sosial, beliau akan terus memperjuangkan kes penderaan membabitkan OKU.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen memerintahkan Siti Bainun menjalani hukuman di Penjara Kajang mulai hari ini, selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai dan menganiaya Bella.
Hakim Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela Mohammad Farhan Maaruf untuk menangguhkan hukuman itu sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.