
Peguam pemerhati kes Bella menerusi kenyataan bersama berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan bawah Akta Kanak-Kanak perlu mengaktifkan segera dasar dan pelan itu.
Katanya, kes pengabaian dan penderaan seumpama itu adalah manifestasi kelompangan perundangan yang memerlukan penambahbaikan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menjadikan akta itu lebih inklusif melindungi kanak-kanak daripada pengabaian, penganiayaan, penderaan, dan eksploitasi.
“Penting bagi memastikan operasi pusat berkaitan dengan asuhan, jagaan atau perlindungan kanak-kanak hanya dilakukan oleh mereka yang benar-benar terlatih dan bukan menjadikan pusat itu sebagai medium untuk mengaut derma atau sumbangan dari mana-mana pihak.
“Justeru, menjadi keutamaan mengaktifkan segera Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak komprehensif yang sudah sedia wujud bagi memastikan kes Bella tidak akan berlaku lagi dalam negara kita yang bertamadun ini,” kata kumpulan peguam itu.
Tambahnya, pelan dan dasar itu perlu dilaksanakan dengan pematuhan tegas dan tidak boleh hanya “berbunyi” secara bermusim setiap kali berlaku kes penderaan kanak- kanak.
Sebelum ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melantik empat peguam, Baljit Singh Sidhu, Khairul Anwar Rahmat, Ikbal Salam, dan Mohd Radzi Yatiman sebagai peguam pemerhati bagi membantu pasukan pendakwaan.
Hari ini, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah mengabai dan mendera Bella.
Hukuman serentak dijalankan bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh sabitan dan bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dari tarikh sabitan.
Selain itu, Siti Bainun diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman serta menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.