
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, walaupun penerbangan AK117 terpaksa berpatah balik disebabkan isu teknikal, ia bukanlah “situasi kecemasan” dan “tiada nyah tekanan berlaku”.
“Kejadian itu disebabkan oleh unit teknikal berasingan yang perlu diperbetulkan sebelum sebarang pelarasan tekanan kabin boleh dilakukan.
“Walaupun unit teknikal yang berasingan itu berkaitan dengan tekanan kabin, ia tidak menyebabkan masalah (nyah tekanan) seperti yang didakwa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam kenyataan.
Beliau berkata, kru penerbangan telah dilatih dalam prosedur keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan isu itu.
Arahan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou perlu untuk menyelesaikan masalah itu secepat mungkin, tambahnya.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada video yang dimuat naik di media sosial semalam, di mana seorang penumpang mendakwa penerbangan itu terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang Guangzhou selepas 20 minit akibat masalah nyah tekanan.
Penumpang itu mendakwa, penerbangan terbabit tidak mendarat serta-merta dan berada di udara selama lebih tiga jam.
Riad berkata, pesawat itu perlu membakar lebihan bahan api di kawasan ditetapkan yang dibenarkan oleh kawalan trafik udara untuk memastikan berat pendaratannya tidak melebihi had dibenarkan mengikut prosedur keselamatan.
“Pesawat itu selamat kembali ke tempat mendarat pada 12.47 pagi untuk pembaikan,” katanya.
Beliau berkata, semua prosedur keselamatan dipatuhi dan isu teknikal itu diperbetulkan mengikut syarat industri. Pesawat yang sama kemudiannya diisytiharkan selamat untuk terbang.
“Semua penumpang diberikan bantuan diperlukan di lapangan terbang, termasuk baucar penginapan dan perjalanan, untuk meminimumkan kesulitan selanjutnya.
“Selain itu, semua penumpang diberikan pilihan untuk memindahkan penerbangan mereka secara percuma dalam tempoh 30 hari atau akaun kredit penuh dengan tempoh sah dua tahun atau bayaran balik penuh,” katanya.