Agong berkenan hadiri pertabalan Raja Charles III di London

Agong berkenan hadiri pertabalan Raja Charles III di London

Lawatan khas baginda dan Raja Permaisuri Agong ke UK bermula hari ini hingga 14 Mei, menurut Wisma Putra.

Lawatan khas Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke UK adalah atas undangan Raja Charles III sempena istiadat pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan lawatan khas ke London, United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 14 Mei.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan khas itu atas undangan Raja Charles III sempena istiadat pertabalan di Westminster Abbey pada 6 Mei.

“Seri Paduka berdua juga berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Raja Charles III di Istana Buckingham pada 5 Mei,” menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Lawatan khas itu amat signifikan dalam konteks menyatukan hubungan sedia ada dan akrab yang dikongsi di antara Malaysia dan UK, terutamanya antara institusi diraja kedua-dua negara serta ikatan dalam Komanwel, menurut Wisma Putra.

Menurut kenyataan itu, lawatan khas berkenaan turut menzahirkan kepentingan hubungan erat di antara kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong di peringkat pemerintahan tertinggi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.