MPV terbabas rempuh penghadang, nenek, cucu maut

MPV terbabas rempuh penghadang, nenek, cucu maut

Perodua Alza dipandu anak lelaki warga emas itu terbabas mengorbankan Nurin Damia Mohd Nizam dan Che Hasnah Jusoh.

Polis berkata kereta dinaiki Che Hasnah Jusoh dan Nurin Damia Mohd Nizam terbabas ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Machang. (Gambar JBPM)
MACHANG:
Seorang nenek dan cucu perempuannya maut apabila kereta jenis Perodua Alza dipandu anak lelakinya warga emas itu terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM42, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai.

Ketua Polis Machang, Mohd Adli Mat Daud, berkata dalam kejadian 5.10 pagi itu, mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Che Hasnah Jusoh, 67, dan Nurin Damia Mohd Nizam, 14 manakala Muhammad Asyraf Abdul Manap, 26, cedera di bahagian kaki.

“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur untuk pulang ke Kampung Bunut Tok Mak Teh Labok, Machang.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Muhammad Asyraf dipercayai terbabas sebelum melanggar penghadang jalan,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan kemalangan itu, kereta dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk manakala kedua-dua penumpang berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang.

“Nurin Damia mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Che Hasnah meninggal dunia pada 8.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Machang.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.