Lelaki Pakistan maut terperosok bawah kereta

Lelaki Pakistan maut terperosok bawah kereta

Rahman Hazrat, 31, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala rakannya berusia 37 tahun dilaporkan cedera ringan.

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Jalan Bypass Kota Tinggi semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mayat seorang warga Pakistan yang terperosok di bawah kereta selepas motosikal dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kota Tinggi semalam.

Rahman Hazrat, 31, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala rakannya berusia 37 tahun dilaporkan cedera ringan dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Johor berkata, nahas itu membabitkan sebuah Toyota Camry dan motosikal dinaiki mangsa di Jalan Bypass Kota Tinggi.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada 3.34 petang sebelum menggerakkan tujuh anggota ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.

“Setiba di lokasi, kami mendapati salah seorang mangsa berada di bawah kereta dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 4.22 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.