
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata polis menerima aduan daripada pengurus syarikat memaklumkan premisnya dipecah masuk dan lapan daripada 42 kotak cip elektronik hilang pada 4.30 pagi, 21 April lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebanyak 42 kotak berisi cip untuk membuat televisyen dan telefon itu dijadualkan untuk dieksport ke Taiwan.
“Bagaimanapun, rakaman CCTV mengesan dua pekerja membawa keluar lapan kotak daripada gudang itu. Kedua-dua suspek itu adalah pekerja syarikat berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, keenam-enam suspek berusia antara 21 hingga 38 tahun ditahan selepas polis melakukan serbuan di kawasan KLIA, Sungai Pelek dan Nilai.
“Empat daripada suspek termasuk dua pekerja syarikat itu mengaku melakukan jenayah terbabit. Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.