Cubaan peras ugut gagal, pemilik rangkaian klinik maut dijerut

Cubaan peras ugut gagal, pemilik rangkaian klinik maut dijerut

Polis berkata seorang kenalan dipercayai meminta RM228,000 daripadanya untuk membayar yuran peguam.

Suspek utama berusia 30-an dan empat lagi ditahan berhubung pembunuhan seorang ahli perniagaan yang mayatnya disumbat dalam beg dan dibuang dalam gaung.
SHAH ALAM:
Seorang ahli perniagaan berusia 41 tahun yang memiliki rangkaian klinik, maut dipercayai dijerut seorang lelaki dalam cubaan peras ugut.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata mayat ahli perniagaan itu disumbat dalam beg dan dibuang ke gaung di kawasan terpencil Hulu Langat pada 26 April lalu.

Katanya, mangsa dipercayai dijerut dengan wayar oleh seorang kenalan yang mahu memeras ugut RM228,000 daripadanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 30-an itu memerlukan wang untuk membayar yuran peguamnya.

“Suspek mengajak mangsa berjumpa di sebuah restoran di Semenyih pada 26 April lalu atas alasan berniaga.

“Selepas itu, mangsa menghubungi rakan serumahnya untuk memindahkan sejumlah wang dari akaun sebuah syarikat.

“Rakan serumahnya tidak berbuat demikian kerana mengesyaki sesuatu. Selepas gagal menghubungi mangsa pada hari sama, dia membuat laporan polis.”

Hussein berkata, suspek dipercayai memujuk mangsa menaiki keretanya sebelum dijerut dan siasatan awal mendapati seorang rakan subahat sudah menunggu dalam kereta itu.

Katanya, suspek menjalankan kerja pengubahsuaian di sebuah klinik dan tahu latar belakang kewangan mangsa.

Beliau berkata, polis turut menahan empat individu lain bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.