
Perdana menteri mahu semua jentera kerajaan memberi tumpuan penuh kepada tugas utama untuk membangunkan negara dan rakyat.
“Kalau dia tak ada komplot, dia kerja apa? Dia jalankan tugas dia, tiap bulan dia ada strategi dia. Insya Allah, setakat yang kita pantau keadaan (kerajaan perpaduan) cukup kuat.
“Apa yang penting, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta lain-lain cukup kuat dan jelas, jadi kita tumpu kerja.
“Jangan layan pengingau-pengingau ini,” katanya selepas menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2023 di sini.
Spekulasi timbul sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen, yang sebelum ini menyokong Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selepas PRU15, merancang gerakan menjatuhkan kerajaan dengan mengosongkan kerusi mereka dan keluar parti bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.
Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun dilaporkan berkata, parti itu akan memastikan tiada Ahli Parlimennya berpakat untuk menggulingkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Susulan itu, beberapa Ahli Parlimen PN turut menepis dakwaan gabungan itu terbabit dalam gerakan menjatuhkan kerajaan persekutuan, dengan Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim dipetik Sinar Harian berkata, tumpuan PN ialah persiapan menghadapi PRN.
Mengenai permohonan pengampunan diraja untuk Najib Razak, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan berkata, setiap individu yang dijatuhi hukuman penjara berhak membuat rayuan kepada Agong.
“Kita perlu mengambil kira kes itu dan menyemak semula dengan penuh belas kasihan, secara profesional tanpa prejudis,” katanya sambil mengulangi Lembaga Pengampunan tidak membincangkan pengampunan bekas perdana menteri dalam mesyuarat terakhir.
‘Saya bukan pendendam’
Anwar menafikan beliau ialah pendendam kerana beberapa pemimpin yang didakwa di mahkamah berdasarkan bukti berlaku kesalahan membabitkan mereka.
“Kamu curi berjuta ringgit, kamu dikenakan tindakan, kamu kata ini dendam,” katanya sambil menambah ada pihak memanipulasi agama untuk mempertahankan sistem dan orang yang korup.
Beliau berkata, mereka ialah individu sama yang tidak membincangkan nasib pekerja, tetapi cepat mempertahankan rasuah.