Rancangan rangka akta jerebu rentas sempadan masih dikaji, kata menteri

Rancangan rangka akta jerebu rentas sempadan masih dikaji, kata menteri

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu seperti hubungan diplomatik dan pengumpulan bukti perlu diteliti.

Fenomena El Nino dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering pada pertengahan tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Rancangan merangka akta jerebu rentas sempadan masih dikaji, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Katanya, kerajaan perlu melihat kebolehlaksanaan akta jerebu rentas sempadan dan mempertimbangkan hubungan diplomatik serta langkah pencegahan pencemaran alam sekitar.

“Kementerian Juga perlu mengambil kira cabaran mendapatkan bukti bagi tujuan pendakwaan, yang membabitkan data berkaitan keselamatan, kedaulatan negara bertanggungjawab terhadap pencemaran jerebu,” katanya kepada FMT.

Nik Nazmi Nik Ahmad.

Tetapi, beliau berkata, undang-undang saja tidak akan menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan, seperti yang berlaku di Singapura.

Nik Nazmi berkata, pengajaran daripada pelaksanaan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) 2014 di Singapura menyaksikan kesukaran mendapatkan bukti untuk pendakwaan, juga perlu dipertimbangkan.

Beliau merujuk penguatkuasaan THPA 2014 tidak terpakai kepada entiti yang tidak beroperasi di negara itu.

Justeru, katanya, kementerian itu mengekalkan hubungan diplomatik dan berkongsi amalan serta teknologi terbaik dengan negara jiran Aseannya.

Beliau berkata, ia turut bekerjasama dengan syarikat perladangan berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia bagi mengelakkan pembakaran terbuka dan jerebu.

Akta jerebu rentas sempadan dicadangkan Pakatan Harapan ketika ia berkuasa, tetapi ditangguhkan pada 2020 oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, lebih mudah menangani perkara itu secara diplomatik dengan negara jiran.

Baru-baru ini, Malaysia dilaporkan akan menemui negara jirannya bagi membincangkan jerebu rentas sempadan, lebih-lebih lagi fenomena El Nino dijangka membawa cuaca lebih panas dan kering pada pertengahan tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.