
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, lambang “dacing” lebih diterima pengundi dua negeri itu dan memberi perbezaan ketara dalam menarik pengundi Melayu.
“Ini kerana PH dikaitkan dengan DAP dan terdapat stigma menyelubungi parti itu dalam kalangan pengundi di negeri itu. Jadi, menggunakan lambang BN akan membawa banyak perbezaan,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, Umno masih mampu menarik minat pengundi di sana, walaupun kehilangan beberapa pemimpin terkenal di pantai timur, antaranya Mustapa Mohamed, Annuar Musa, Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Rosol Wahid.
Pada 27 April lalu, Ketua Amanah Ketereh, Che Ibrahim Mohamed mencadangkan PH bertanding menggunakan logo BN di Kelantan dan Terengganu memandangkan simbolnya tidak diterima secara meluas di dua negeri berkenaan.
Katanya, penggunaan simbol tunggal juga menunjukkan perpaduan dan kerjasama antara dua gabungan itu.
Azmi berkata, perbalahan antara dua ahli politik DAP dan Umno baru-baru ini memberi kelebihan kepada Umno.
“Perbalahan mereka di khalayak ramai menunjukkan kepada pengundi bahawa Umno sanggup berdepan DAP, walaupun kedua-duanya rakan kongsi dalam kerajaan perpaduan. Ia langkah strategik.”
Nur Jazlan Mohamed dari Umno dan Aziz Bari dari DAP mempersoalkan pendirian Umno dalam kalangan orang Melayu selepas prestasi baik Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Nur Jazlan dilaporkan berkata, hubungan Umno dengan DAP dalam kerajaan perpaduan menyukarkan parti itu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata, cadangan PH menggunakan logo BN patut dicuba memandangkan gabungan pimpinan Umno itu lebih dikenali dalam kalangan pengundi di Kelantan dan Terengganu berbanding PH.
Katanya, BN dan PAS saling bersaing di Kelantan dan Terengganu selama beberapa dekad.
“Logo BN memang disedari kehadirannya dan mempunyai keterikatan kuat dalam kalangan penduduk di kawasan Melayu ini. Menggunakan logo BN mungkin sesuai untuk mereka yang tidak mahu mengundi PN-PAS.”
PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dijangka diadakan Julai ini.