
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Khairul Dzaimee Daud yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun memaklumkan kertas rayuan itu akan dipertimbangkan pada mesyuarat akan datang.
“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.
“…sebaliknya kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, lembaga yang bersidang 28 April lalu mempertimbangkan 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000.
Beliau berkata, mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Katanya, Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum.
FMT sebelum ini melaporkan, Lembaga Pengampunan tidak membincangkan permohonan memohon Najib diampunkan, menurut sumber.
Sumber menyangkal laporan mendakwa lembaga yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu akan membincangkan permohonan untuk Najib itu Jumaat lalu.
Najib dipenjarakan tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan beliau dalam kes SRC International.
Beliau disabit kesalahan pada Julai 2020 atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah berkait dana SRC berjumlah RM42 juta. Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 31 Mac lepas, sidang lima hakim di Mahkamah Persekutuan secara majoriti menolak permohonan Najib meminta pensabitan dan hukumannya disemak semula.