
Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ketika kejadian mangsa bersama ibunya berada dalam rumah lot berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.
“Mangsa dijumpai terapung di dalam kolam renang kanak-kanak berkenaan pada 6.30 petang sebelum dihantar oleh warisnya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia.
“Polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 9.25 malam tadi. Bedah siasat oleh Jabatan Forensik, HRPB pada hari ini turut mendapati punca kematian mangsa adalah lemas,” katanya menurut Berita Harian.
Kejadian itu adalah kes keempat kematian akibat lemas membabitkan mangsa kanak-kanak di bandar raya ini pada tahun ini yang berpunca daripada ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan.
Mohd Yusri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 33(1), Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) kerana membiarkan mereka tanpa pengawasan berpatutan.
Katanya, mereka boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang perempuan berusia 21 bulan ditemui lemas sehari sebelum itu dalam kolam renang kanak-kanak ketika datang menziarahi bersama ibu dan bapanya ke kediaman datuk mangsa di Tambun.