
Katanya, sebarang keputusan mengenai kadar caruman KWSP akan membawa impak.
“Yang itu (gesaan menaikkan kadar caruman KWSP) ada dikemukakan, tetapi kita belum rujuk ke Jemaah Menteri.
“Kita akan bincang dulu. Ia membabitkan keputusan dasar. Ia ada kesan kepada kerajaan, majikan dan rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja 2023 di sini.
Semalam, Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) menggesa kerajaan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan daripada 13% kepada 20%.
Presidennya, Mohamed Shafie BP Mammal dipetik Sinar Harian berkata, ia satu daripada 12 perkara dicadangkan UNI-MLC untuk kerajaan dan majikan tangani segera sebagai hadiah sempena Hari Pekerja 2023.
“Kenaikan tersebut perlu dalam memastikan pekerja yang mahu bersara kelak mempunyai simpanan secukupnya mengikut keadaan semasa dalam KWSP mereka,” katanya semalam.
Dalam perkembangan lain, Anwar meminta tempoh setahun untuk
menyelesaikan isu upah penjawat awam.
Beliau memberi jaminan gaji penjawat awam, khasnya di peringkat rendah akan dinilai semula.
“Bagi saya tempoh setahun, kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (akan dilaksanakan) adalah upah penjawat awam. Selain itu, segala bonus atau apa saja kemudahan, termasuk kesihatan, yang harus dibantu, kita akan segerakan.”
Gaji minimum
Anwar berkata, isu pelaksanaan gaji minimum akan dibincangkan Jemaah Menteri bulan depan untuk mencari penyelesaian sepenuhnya.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum masih sukar dilaksanakan.
“Sebab itu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri bulan depan, kita nak selesaikan ‘once and for all’.”
Perintah gaji minimum dengan kadar RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei 2022 untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang mempunyai lima pekerja atau lebih.
Bagi majikan kurang daripada lima pekerja, pelaksanaan gaji minimum ditangguhkan dari 1 Jan lalu kepada kepada 1 Julai ini.