BN-PH tak mahu gopoh bahagi kerusi, kata Zahid

BN-PH tak mahu gopoh bahagi kerusi, kata Zahid

Pengerusi BN itu juga enggan 'memandang ringan' peluang PN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Zahid Hamidi tidak menolak BN menggunapakai formula penampilan muka baharu seperti dilakukan pada PRN Melaka dan Johor lalu.
KUALA LIPIS:
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian “tidak tergopoh-gopoh” dalam pembahagian kerusi untuk enam pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau yang juga pengerusi BN, berkata pendekatan itu juga diambil bagi mengelakkan pertembungan atau sebarang permasalahan yang mungkin timbul, jika calon dipilih tidak dapat memberikan kemenangan pada pilihan raya nanti.

Selain itu, katanya rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam kerajaan perpaduan juga melibatkan “prosedur” iaitu perbincangan antara BN dan PH di peringkat negeri, sebelum ke peringkat nasional untuk dimuktamadkan.

“Soal yang kami utamakan ialah bagaimana pembahagian kerusi itu bukan sahaja dibuat atas rasa kesaksamaan tetapi juga tentang kebolehmenangan. Kita merasakan bahawa bukan sahaja soal kemenangan, tetapi (juga) soal penerimaan pengundi dan ‘likeable’ seseorang calon, iaitu yang disukai dan sesuai dengan citarasa pengundi di kawasan berkenaan.

“Lagipun kita mempunyai masa yang agak panjang, mungkin sehingga Julai atau awal Ogos untuk kita hadapi kempen PRN secara rasmi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bahawa pembahagian kerusi antara BN dan PH bagi menghadapi PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, dan Kelantan agak ketinggalan berbanding Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan sudah selesai antara 85 ke 90%.

Ditanya mengenai pandangan segelintir pihak bahawa PN mempunyai peluang di Selangor dan Negeri Sembilan, Zahid yang juga presiden Umno, berkata “pihaknya tidak boleh memandang ringan andaian itu”.

“Bukan sahaja (ambil ringan) di Selangor, tetapi di semua negeri yang akan menghadapi PRN ini,” katanya dan menambah keputusan boleh berpihak kepada parti dalam kerajaan perpaduan jika kombinasi antara parti menggerakkan jentera secara terselaras dan memberikan penerangan yang tepat kepada pengundi.

Mengulas jika BN akan membuat perubahan pada senarai calon di enam PRN itu bagi memastikan calon mereka adalah ‘likeable’, Zahid tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan pencapaian dan pengalaman pada PRN di Melaka dan Johor.

“BN (di Melaka dan Johor) mengemukakan muka-muka baharu…kita lihat di Melaka hampir 80% dan begitu juga di Johor iaitu lebih 70%. Ertinya kita amat komited untuk terus meremajakan Umno, BN dan memberi peluang kepada kumpulan pelapis untuk berada di persada kepimpinan negeri melalui pemilihan sebagai calon Adun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.