‘BN-PH boleh cerai bila-bila masa’, PAS nafi rancang tumbang kerajaan Perak

‘BN-PH boleh cerai bila-bila masa’, PAS nafi rancang tumbang kerajaan Perak

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menafikan parti itu sedang merencana menumbangkan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mendakwa tuntutan DAP tidak dapat dipenuhi Umno-BN kerana perbezaan perjuangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiada keperluan bagi PAS merancang menumbangkan kerajaan perpaduan di Perak memandangkan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) boleh “bercerai” pada bila-bila masa.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata kesan daripada “kahwin paksa” itu sudah tentu tidak mampu memuaskan hati semua Adun kedua-dua parti yang membentuk kerajaan negeri.

“Mungkin ada antara mereka (Adun) yang mungkin rasa tidak berpuas hati dari segi pembahagian jawatan seperti exco kerana jawatan itu terhad.

“Walaupun kita melihat kerajaan negeri ini seolah-olah ‘perkahwinan secara paksa’, namun kita tiada ke arah usaha itu (gerakan menumbangkan kerajaan negeri),” katanya menurut Utusan Malaysia.

Katanya, ikatan antara BN-PH boleh tumbang mengambil kira perbezaan perjuangan dua gabungan itu.

“Namun, apabila ‘kahwin paksa’ ibaratnya pada bila-bila masa pun boleh bercerai, memandangkan perjuangan mereka tidak sama dan terlihat seolah-olah tuntutan-tuntutan daripada parti DAP tidak dapat dipenuhi oleh Umno-BN,” katanya.

Selepas PRU15, kerajaan Perak ditubuhkan dengan gabungan 24 Adun PH bersama sembilan Adun BN yang membentuk majoriti 33 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang 26 kerusi DUN.

DUN Perak mempunyai 59 kerusi, memerlukan sekurang-kurangnya 30 kerusi untuk mana-mana parti politik meraih majoriti mudah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.