Amanah mohon maaf kepada Umno atas ‘keterlanjuran’ Khalid

Amanah mohon maaf kepada Umno atas ‘keterlanjuran’ Khalid

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub membuat permohonan maaf di hadapan Presiden Umno Zahid Hamidi di kediaman rasmi timbalan perdana menteri hari ini.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub bersama Zahid Hamidi pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria.
PUTRAJAYA:
Amanah memohon maaf kepada Umno susulan kenyataan Pengarah Komunikasinya Khalid Samad berhubung bantahan terhadap permohonan pengampunan kepada Najib Razak.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, membuat permohonan maaf itu di hadapan Presiden Umno Zahid Hamidi di kediaman rasmi timbalan perdana menteri itu hari ini.

“Bersempena Hari Raya Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah mohon maaf atas kenyataan ketua komunikasi Amanah (Khalid) baru-baru ini dan sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan Umno maka kami minta maaf, yang penting bagi saya adalah memperkukuhkan kedudukan kita dalam kerajaan dan rakyat.

“Kami sibuk sekarang menyelesaikan isu rakyat dan kita sedang berdepan dengan enam PRN, jadi kita beriltizam memperkukuhkan jentera, ukhuwah kita dan kekuatan parti kita bersama dalam kerajaan perpaduan. Itu lebih penting bagi saya dan sebarang ketelanjuran itu biasa bagi orang politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri timbalan perdana menteri di Seri Satria.

Salahuddin berkata, apa yang berlaku disebabkan keterlanjuran Khalid dan Amanah tidak malu memohon maaf.

“Kadang-kadang kita terlanjur dan tak ada malunya untuk kita mohon maaf sekiranya melukakan dan harap isu ini dapat diselesaikan.

“Saya sendiri bersama presiden Umno dan sebentar tadi pun saya berkunjung timbalan presiden Umno menyatakan perkara sama,” katanya sambil memaklumkan Najib berhak memohon pengampunan.

Ditanya sama ada Khalid akan dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin Amanah, Salahuddin berkata tiada keperluan berbuat demikian dan ia cukup sekadar membuat permohonan maaf secara terbuka.

Sebelum ini, Khalid berkata pihaknya merayu agar permohonan pengampunan terhadap bekas presiden Umno itu ditolak.

Kenyataan Khalid mendapat kritikan pemimpin Umno, termasuk “ugutan” memutuskan hubungan kerjasama politik di Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.