
Menurut polis, suami mangsa yang berusia 60-an dipercayai terlanggar isterinya apabila tertekan pedal minyak ketika cuba mengundurkan keretanya, sebuah Proton Saga.
Pemandu itu juga kemudian melanggar sebuah Perodua Myvi yang diletakkan di hadapan rumah, kata Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh
“Mangsa yang juga pejalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Mohd Redzuan berkata, Balai Polis Trafik IPD Kulim dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7 petang.
Tambahnya, siasatan mendapati kejadian itu berlaku apabila isteri mangsa keluar dari kereta kerana tertinggal barang di dalam rumah.
“Suami mangsa yang ketika itu mengundur kereta tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri (serta) kereta yang (diletakkan) di hadapan rumah,” katanya, lapor Berita Harian.
Pemandu Proton Saga itu, yang menurut Mohd Redzuan mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh, dilaporkan tidak cedera.
Mayat mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.