
Bercakap pada majlis Himpunan Madani Kedah 2023 di Alor Setar, Anwar sekali lagi menafikan dakwaan beliau telah meminggirkan negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN), termasuk Kedah pimpinan PAS.
“Sejak saya menjadi menteri kewangan, saya telah menambah peruntukan untuk empat negeri (ditadbir PN), termasuk Kedah.
“”Banjir teruk di Kelantan. Saya tambah satu projek tebatan banjir berjumlah 1 bilion ringgit. Bukan saya ingin sokongan Kelantan, tetapi sebab kasihan dengan rakyat. Itu yang dikatakan kasih sayang.
“Saya minta anda semua memahami perkara ini. Saya datang sini bukan nak musuh siapa-siapa. Saya datang untuk menyatakan sudah sampai masa kita bangun semula Kedah demi rakyat yang pertahankan integriti,” katanya ketika berucap di di Himpunan Madani Kedah 2023 di Dataran Stargate Alor Setar malam tadi.
Anwar juga menolak kritikan dilemparkan terhadapnya berhubung rumah terbuka Aidilfitri di Kedah, Terengganu dan Kelantan, dengan mengatakan ia masih lebih murah daripada rumah terbuka tahunan di Seri Perdana.
“Takkan saya menang PRN disebabkan majlis berbuka ini. Saya tak mau saudara sokong saya kerana tu.Saya ingin saudara sokong kerajaan perpaduan sebab dasar kita mengangkat martabat rakyat dan negara kita,” katanya.
Minggu lalu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengumumkan rumah terbuka tahunan perdana menteri akan diadakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu tahun ini.
Ini adalah kali pertama rumah terbuka tahunan Aidilfitri tidak akan diadakan di kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.
Anwar juga akan menghadiri tiga lagi rumah terbuka Aidilfitri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, anjuran kerajaan negeri.
Ini mendapat kritikan daripada pembangkang, yang mendakwa ia bercanggah dengan komitmen Putrajaya untuk menghapuskan acara besar-besaran untuk mengurangkan kos dan mendakwa kerajaan mempolitikkan perayaan memandangkan PRN semakin hampir.