PJD Link bantu kurangkan kesesakan trafik, kata pemegang konsesi

PJD Link bantu kurangkan kesesakan trafik, kata pemegang konsesi

Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan menjelaskan bagaimana lebuh raya itu dapat menyuraikan trafik.

Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan berkata lebuh raya itu direka khusus untuk mengatasi masalah trafik yang sering menghantui penduduk Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Pemegang konsesi Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang dicadangkan untuk dibina berkata, projek itu akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya yang secara langsung akan memanfaatkan warganya.

“Ketika ini, LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) hanya satu-satunya lebuh raya melalui utara dan selatan Petaling Jaya, ia beroperasi melebihi kapasiti yang direka pada waktu puncak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PJD Link Amrish Hari Narayanan dalam temu bual dengan FMT.

Amrish berkata, PJD Link bukan hanya menghubungkan LDP malah menghubungkan Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Sprint yang akan mengurangkan beban dari semua lebuh raya terbabit.

Beliau mengulas dakwaan yang PJD Link tidak membantu dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Amrish berkata Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Sprint sedang beroperasi melebihi kapasiti dan dikelaskan sebagai jalan “tahap perkhidmatan F” iaitu mencapai tahap kesesakan teruk dengan pemanduan pada kelajuan rendah serta kerap bergerak dan berhenti di beberapa laluan.

Keadaan itu menyebabkan pengguna jalan raya terpaksa bergantung kepada aplikasi seperti Waze dan Google Maps untuk mencari laluan alternatif di jalan-jalan dalaman Petaling Jaya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“PJD Link akan mengurangkan kesesakan di lebuh raya-lebuh raya utama ini dan pengguna tidak perlu lagi melalui jalan-jalan dalaman,” katanya.

Perbahasan mengenai PJD Link yang membabitkan pembinaan lebuh raya sepanjang 25.4km kembali hangat selepas dilaporkan bahawa syarikat yang mengendalikan projek ini sedang berusaha memenuhi syarat perjanjian konsesi dengan kerajaan persekutuan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi memaklumkan Dewan Rakyat projek itu termasuk dalam kategori “A” iaitu “infrastruktur yang diperlukan” bawah Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya.

Pengkritik projek lebuh raya terbabit mendakwa tanjakan lebuh raya akan menyebabkan kesesakan selain tidak menuju ke stesen pengangkutan awam dan menyumbang kepada lebih banyak pelepasan karbon.

Menyentuh isu pelepasan karbon, Amrish berkata PJD Link akan membantu kenderaan sampai ke destinasi pada “kelajuan pembakaran bahan api yang optimum” sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api.

Beliau berkata, PJD Link juga sebenarnya akan membantu menyelesaikan isu batuan pertama dan akhir dengan melibatkan ketersambungan melalui tanjakan-tanjakan ke jalan-jalan sedia ada dengan stesen pengangkutan awam kereta api utama iaitu LRT3, MRT1, LRT Kelana Jaya, KTM Komuter dan LRT Sri Petaling.

“Kami akan melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan untuk menyediakan perkhidmatan ulang-alik, sebaik-baiknya bas mini yang boleh membawa penumpang ke stesen dengan mudah. PJD Link menyediakan laluan yang lebih cepat untuk perkhidmatan sedemikian,” katanya.

Amrish berkata, sebanyak 21 tanjakan juga akan dibina untuk menghubungkan trafik di lorong perlahan bagi mengelak gangguan aliran trafik di lorong laju.

“Reka bentuk ini juga dianalisis oleh juruperunding penilaian impak trafik untuk memastikan tiada kesesakan akibat daripada tanjakan-tanjakan ini,” katanya.

Beliau berkata, 80% daripada lebuh raya dibina atas median jalan sedia ada untuk memastikan ia tidak mengambil alih ruang di jalan-jalan ini.

Amrish berkata, penilaian impak trafik, sosial dan alam sekitar telah diserahkan kepada agensi kerajaan yang berkaitan pada Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.