Langkah ‘berisiko’ Ahli Parlimen lepas kerusi tanding semula, kata penganalisis

Langkah ‘berisiko’ Ahli Parlimen lepas kerusi tanding semula, kata penganalisis

Ahli Parlimen BN yang menang dengan majoriti kecil pada pilihan raya sebelum ini boleh menjangkakan gelombang protes jika mereka meletak jawatan dan bertanding semula untuk kerusi sama.

Beberapa Ahli Parlimen BN dikatakan sedang mempertimbangkan pencalonan baharu bagi kerusi mereka kerana larangan lima tahun yang menghalang tindakan sedemikian telah dimansuhkan daripada undang-undang anti-lompat parti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 15 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan merancang untuk melepaskan kerusi dan bertanding semula di kawasan mereka – satu langkah yang dianggap penganalisis strategi yang sangat berisiko.

Tindakan itu adalah berdasarkan penghapusan larangan lima tahun ke atas wakil rakyat bertanding semula jika mereka meletakkan jawatan untuk memaksa diadakan pilihan raya kecil.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, tindakan itu terlalu berisiko dan tidak mungkin berlaku sebelum PRN.

“Tetapi ia boleh berlaku jika Umno diketepikan di negeri Pakatan Harapan, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya.

“Ahli Parlimen boleh mengosongkan kerusi mereka dan bertanding di bawah parti berasaskan Melayu yang lain. Jadi, kerajaan perpaduan tidak terancam sebelum pilihan raya negeri.”

Wong berkata pemansuhan larangan lima tahun itu bukanlah satu kesilapan. Beliau menegaskan Pakatan Harapan tidak akan terperangkap seperti yang didakwa oleh ramai orang.

“Undang-undang anti-lompat parti adalah untuk mengembalikan mandat kepada pengundi apabila penggubal undang-undang berpaling tadah daripada parti mereka. Pengundi sepatutnya mempunyai hak untuk memilih pembelot jika mereka menyokong langkah berkenaan. Undang-undang anti-lompat akan mewujudkan raksasa yang menjadikan parti terlalu kuat jika Artikel 48(6) tidak dikeluarkan,” katanya kepada FMT.

James Chin, profesor Pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata menghapuskan klausa itu tidak mewujudkan sebarang kelemahan dan jika Ahli Parlimen BN berhenti seperti yang dijangka, ia akan menjadi strategi berisiko tinggi.

“Perlu diingat bahawa Ahli Parlimen BN menang dengan majoriti kecil, jadi untuk kembali mendapatkan mendapatkan mandat daripada pengundi yang sama yang sudah dikhianati adalah satu jalan sukar. Sedangkan pemimpin berprofil tinggi seperti Khairy Jamaluddin boleh kalah di kerusi bandar, jadi tidak semua 15 yang berhenti boleh dipilih semula.

“Sekiranya saya Anwar Ibrahim, saya akan cabar tindakan mereka. Tindakan itu bukan mengenai pilihan raya kecil, sebaliknya membina momentum,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata tidak mungkin kerajaan perpaduan membuat satu lagi pindaan perlembagaan untuk meletakkan semula fasal 6 ke dalam Perkara 48.

“Ia sudah tentu tidak akan mendapat majoriti dua pertiga. Bagaimanapun, sekiranya 15 Ahli Parlimen itu melepaskan kerusi mereka seperti yang diduga, anda boleh mengharapkan pengundi menghukum mereka kerana mencetuskan kekecohan dalam negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.