Rogol, ceroboh rumah penjawat awam, duda mengaku salah

Rogol, ceroboh rumah penjawat awam, duda mengaku salah

Hassan Ahmad didakwa menceroboh kuarters kastam dan merogol mangsa selepas mengancam membunuh wanita itu.

Tertuduh Hassan Ahmad mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menceroboh kuarters kastam dan merogol wanita. (Gambar Fail)
PETALING JAYA:
Seorang buruh binaan mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tuduhan merogol dan menceroboh rumah penjawat awam, minggu lalu.

Hassan Ahmad, 43, membuat pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan sejurus dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Ainul Shahrin Mohamad.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei ini untuk keputusan susulan pengakuan bersalah tertuduh itu, lapor Berita Harian.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun selepas mengancam membunuh wanita itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kuarters Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dekat Fair Park antara 10 malam, 17 April 2023 hingga 1.47 pagi, 18 April 2023.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dengan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa merogol mangsa pada 18 April antara jam 5.30 pagi hingga 6.30 pagi di tempat sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Bagi pertuduhan menceroboh, tertuduh yang juga seorang duda dan mempunyai seorang anak perempuan didakwa menceroboh masuk dengan niat melakukan jenayah di rumah mangsa pada 10 malam, 17 April 2023 hingga 9 pagi, 18 April 2023.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Evangelin memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh tidak mempunyai alamat tetap serta mengetahui mana mangsa tinggal.

Pada hari kejadian, mangsa sempat melarikan diri dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Polis kemudian menahan lelaki itu di rumah mangsa dan merampas beberapa senjata termasuk gunting, pisau, dan kuku keluli.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod dadah lampau dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.