
Peguam Baharudeen Ariff memberitahu FMT, kes membabitkan kerusi Parlimen Masjid Tanah dan Kemaman akan didengar secara dalam talian pada Selasa.
“Dua lagi rayuan (membabitkan kerusi Putrajaya dan Gua Musang) juga telah ditetapkan untuk didengar pada 19 Jun,” kata Baharudeen, ahli pasukan guaman yang mewakili calon BN yang kalah kepada calon Perikatan Nasional (PAS atau Bersatu) pada PRU15.
“Kes akan dihantar semula untuk merit petisyen didengar oleh hakim pilihan raya sekiranya mana-mana rayuan dibenarkan.”
Pengurusan kes bagi petisyen pilihan raya membabitkan kerusi Segamat, di mana BN kalah kepada Pakatan Harapan (PH), ditetapkan pada 9 Mei.
Baharudeen berkata, cabaran BN untuk menyingkirkan calon PAS di kerusi Marang dan kerusi Kuala Terengganu sedang didengar dalam perbicaraan yang sedang berjalan selepas bantahan awal ditolak
Sementara itu, peguam kanan persekutuan berkata, rayuan kepada Mahkamah Persekutuan juga telah difailkan bagi kerusi Parlimen Putatan, Tenom dan Tuaran di Sabah. Bagaimanapun, tarikh pendengaran kes masih belum ditetapkan.
Peguam kerajaan yang enggan dinamakan itu berkata, tiada rayuan difailkan oleh pempetisyen bagi kerusi Lubok Antu (Sarawak) dan Sandakan (Sabah).
Jabatan Peguam Negara terlibat dalam petisyen pilihan raya yang difailkan bagi lima kerusi di Sabah dan Sarawak kerana pempetisyen menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pemantau pilihan raya sebagai responden.