
Dalam saman pemula difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam awal minggu ini, mereka memohon dokumen daripada MBPJ yang dikatakan penting bagi menyokong permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan majlis merobohkan premis berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Choong Yeow Choy akan mendengar kes itu pagi ini.
Para peniaga berkenaan memohon Mahkamah Tinggi memerintahkan MBPJ menyerahkan semua komunikasi antara kedua-dua pihak, selain salinan lesen, invois, resit, minit mesyuarat dan rekod lain dalam simpanan majlis sejak premis itu dibina pada 1993 sehingga kini.
Mereka turut memohon injunksi sementara bagi menghalang MBPJ merobohkan gerai-gerai berkenaan sehingga tindakan itu dilupuskan. Proses perobohan mungkin dilakukan seawal 30 April.
Dalam notis bertarikh 10 April, MBPJ memaklumkan peniaga-peniaga bahawa mereka diberi masa sehingga esok untuk mengosongkan premis sebelum kerja perobohan dijalankan.
Menurut notis itu, MBPJ boleh memasuki premis itu untuk mengeluarkan individu atau harta boleh alih selepas tempoh berkenaan, selain memulakan tindakan undang-undang sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.
Peniaga Noor Sita Osman, yang mengesahkan afidavit sokongan difailkan bagi pihak peniaga lain, mendakwa mereka masing-masing membayar RM8,600 untuk pembinaan gerai berkenaan.
“Gerai itu dibina dengan kelulusan kerajaan Selangor. Plaintif (peniaga) melihat pelan yang menunjukkan reka letak gerai,” katanya.
Tambahnya, mereka semua tidak lagi mencari lokasi lain untuk berniaga kerana menyangka dapat berniaga di premis berkenaan bagi tempoh jangka panjang.
Selain mempunyai pelanggan tetap, Noor Sita berkata, peniaga juga menggunakan wang sendiri dari semasa ke semasa untuk menyelenggara dan menambah baik gerai masing-masing.
Menurutnya, MBPJ tidak campur tangan mahupun menawarkan untuk membayar kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan, membuatkan para peniaga yakin mempunyai hak jangka panjang terhadap premis berkenaan.
Katanya, peniaga mempunyai hak dari segi undang-undang atau kontrak dan tidak boleh diusir “seperti penceroboh” tanpa pampasan kewangan sewajarnya.
Mengakui bahawa premis itu mungkin perlu dirobohkan agar kerja-kerja pelebaran jalan atau perparitan dapat dijalankan, Noor Sita berkata: “Itu sesuatu yang defendan perlu tangani, bukan kami.”
“Jika mereka mahu kami tinggalkan gerai, mereka harus menawarkan pampasan kewangan yang munasabah, mencukupi dan berkadar,” tambahnya.
Beliau berkata, para peniaga yang terdiri daripada “orang biasa yang sederhana” tidak menyimpan rekod dengan lengkap, justeru tidak akan dapat membina kes dengan sendiri.
Itulah sebabnya, kata Noor Sita, mereka memfailkan permohonan untuk mendapatkan dokumen sewajarnya sebelum meneruskan proses semakan kehakiman.
Tegasnya, tindakan itu tidak mungkin mengakibatkan prejudis terhadap MBPJ.
Kumpulan peniaga terbabit diwakili Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.