Lelaki cucuk mata buaya, selamatkan diri daripada dibaham

Lelaki cucuk mata buaya, selamatkan diri daripada dibaham

Kejadian berlaku ketika Shahril Saupi sedang bergelut kerana kaki kirinya disambar buaya sepanjang hampir empat meter.

Shahril Saupi terselamat daripada dibaham buaya kerana sempat cucuk mata reptilia itu di sebuah sungai dekat Sadong Jaya, Kota Samarahan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki bertindak berani apabila menusuk mata buaya sedang menggigit kakinya sebelum berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian di Kampung Sungai Buloh, Sadong Jaya, Kota Samarahan, kelmarin.

Kejadian berlaku 4 petang ketika Shahril Saupi, 36, sedang menjala udang di kawasan pintu air.

“Ketika itu saya sudah memperoleh udang kira-kira 2kg. Tiba-tiba kaki kiri disambar buaya sebelum ditarik ke kawasan air dalam,” katanya menurut Berita Harian.

Jelasnya lagi, dia bergelut dengan buaya terbabit selama kira-kira lima minit untuk melepaskan diri.

“Ketika bergelut melepaskan diri, saya tidak panik dan teringat pesan orang-orang tua supaya mencucuk mata buaya. Selepas cucuk mata, reptilia itu melepaskan gigitan,” katanya.

Katanya, dalam keadaan menahan kesakitan, dia menguatkan kudrat berenang ke tebing sungai sebelum mendapatkan bantuan penduduk.

“Sepanjang lima tahun menjala udang di kawasan itu, ini kali pertama saya diserang buaya dianggarkan sepanjang 3.96m.

“Malah, penduduk sering melihat kelibat buaya ini memakan sisa sampah di kawasan mereka,” katanya yang masih mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak(HUS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.