
Dr Lee Boon Chye mengulas cadangan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa agar pemakaian pelitup muka di sekolah diwajibkan semula.
Ini berikutan pengesanan subvarian Omicron, Arcturus, yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang rentan terhadap vaksin.
Lee menggesa agar Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan data menunjukkan bahawa arahan memakai pelitup muka di sekolah berkesan mengekang penularan Covid-19.
“Saya tidak yakin memakai pelitup muka akan buat perbezaan. Mesti ada data untuk menunjukkan arahan pemakaian pelitup muka dapat membantu mengurangkan penularan virus,” katanya kepada FMT.
Menurut Lee, kadar kematian bagi varian Arcturus lebih rendah berbanding dengan Omicron, yang menurutnya bermakna keperluan memakai pelitup muka di sekolah tidak berat.
Data KKM menunjukkan bahawa 43% kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dua dos vaksin Covid-19 manakala 92% daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah sepenuhnya menerima vaksin.
Bekas Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, vaksin sudah memadai untuk melindungi murid melainkan kadar kematian Covid-19 mula meningkat.
“Barulah kita kemudiannya mempertimbangkan langkah-langkah lain, seperti memberikan satu lagi dos penggalak, tetapi bukan sekatan sekali lagi,” katanya.
Lee menegaskan bahawa varian Arcturus disenaraikan sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), bukan varian dibimbangi (VOC), oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menggambarkan VOI sebagai varian yang mungkin mempunyai kesan ketara pada kebolehjangkitan, manakala VOC – kategori yang paling membimbangkan – menunjukkan kebolehjangkitan yang lebih tinggi dan jangkitan lebih teruk.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon menyambut baik cadangan Zaliha agar murid-murid memakai pelitup muka di sekolah.
Menurut Fouzi, sekolah-sekolah telah mula melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sejak negara mula memasuki fasa endemik Covid-19 April tahun lepas.
Fouzi juga berkata, ibu bapa perlu peka dengan kesihatan anak-anak kerana mereka boleh menyebarkan virus kepada rakan sekolah jika mereka dijangkiti.
“Pihak sekolah wajar mengambil langkah (melindungi murid) bagi memastikan ibu bapa tidak bimbang menghantar anak mereka ke sekolah,” katanya.
“Ibu bapa perlu tegas. Jika anak mempunyai gejala seperti sakit tekak, batuk atau mata berair, mereka tidak patut dihantar ke sekolah.”