Suspek kes tembak ditahan ketika mahu main judi

Suspek kes tembak ditahan ketika mahu main judi

Polis berkata, mangsa berusia 27 tahun luka di kaki kanan.

Polis menahan dua suspek ketika mereka datang bermain judi dan seorang lagi dicekup ketika cuba melakukan samun hasil perniagaan dan perjudian mangsa.
PETALING JAYA:
Tiga lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes menembak seorang lelaki di Bachok, Kelantan semalam.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian kira-kira 9.23 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun luka di kaki kanan dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Katanya, semua suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bachok di sekitar daerah itu pada hari sama.

“Siasatan awal mendapati dua tangkapan dibuat di kawasan tali air di Kampung Tepus, Gunong Bachok ketika suspek datang bermain judi.

“Seorang lagi suspek bersama tiga rakan sejenayah lain pula ditahan ketika cuba melakukan samun hasil perniagaan dan perjudian mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Tetapi katanya, tiga rakan sejenayah itu masih bebas dan polis giat mencari mereka.

Beliau berkata, semakan mendapati mangsa dan semua suspek dalam lingkungan 23 hingga 28 tahun itu mengenali antara satu sama lain, selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik serta jenayah.

“Tangkapan pertama juga cuba mengelirukan anggota polis dengan membuat laporan palsu, namun disedari polis terbabit.

“Ujian saringan urin mendapati salah seorang daripada suspek positif methaphetamine,” katanya sambil menambah kes diklasifikasi mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Tiga Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta ke balai polis berhampiran untuk membantu menahan tiga lagi suspek bagi melengkapkan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.