Kerajaan mesti giat kuat kuasa keselamatan makanan, kata ahli akademik

Kerajaan mesti giat kuat kuasa keselamatan makanan, kata ahli akademik

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penguatkuasaan dan kawalan negara berkaitan makanan tidak mencukupi, dan ini memberikan imej buruk terhadap Malaysia.

Pihak berkuasa kesihatan Taiwan mengesan etilena oksida dalam sekumpulan produk Mi Kari Putih Ah Lai keluaran Fa E Fa Sdn Bhd dari Malaysia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Malaysia harus melabur lebih banyak dalam bidang keselamatan makanan bagi memastikan bahan cemar dapat dikesan sebelum sesuatu produk makanan diedar, kata seorang pakar kesihatan awam dan ekonomi kesihatan.

Dr Sharifa Ezat Wan Puteh daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, bahan penyebab kanser seperti etilena oksida, yang ditemui oleh pihak berkuasa Taiwan dalam satu kumpulan produk mi segera dari Malaysia, sepatutnya dikesan jika ia melebihi paras yang dibenarkan.

Malangnya, penguatkuasaan dan kawalan keselamatan kesihatan Malaysia tidak mencukupi, tambahnya.

Menurut Sharifa, pihak berkuasa Malaysia mungkin tidak dapat mengesan bahan cemar dalam produk makanan yang dieksport melainkan dimaklumkan oleh negara lain.

Beliau berkata, Taiwan mungkin dapat mengesan etilena oksida, sebatian kimia yang dikaitkan dengan limfoma dan leukemia, kerana pelaburannya dalam keselamatan makanan lebih tinggi dan giat.

“Teknologi makanan mereka lebih baik dan lebih sensitif kepada (mengesan bahan dalam) makanan import, terutamanya jika datang dari negara berpendapatan pertengahan,” katanya.

“Penguatkuasaan dan kawalan kita tidak mencukupi, dan ini memberikan imej buruk terhadap kawalan makanan di Malaysia.”

Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (KKM), konsainan makanan yang dieksport oleh negara mesti mematuhi undang-undang negara pengimport.

Pengimport juga perlu memastikan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, berkenaan jenis makanan yang akan diimport, dipatuhi dengan ketat.

Sharifa berkata, walaupun Malaysia menjalankan pensampelan makanan untuk mengesan bahan tambahan dan bahan cemar, kita tidak berbuat demikian untuk semua jenis makanan kerana terdapat terlalu banyak produk untuk diuji.

Etilena oksida, yang biasanya digunakan sebagai racun perosak atau agen pensterilan, beracun apabila dimakan atau dihidu. Bahan ini boleh dengan serius merengsakan kulit dan mata sesiapa sahaja yang mempunyai kontak dengannya, serta boleh menyebabkan kecacatan kelahiran dan keturunan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Radzi Abu Hassan berkata, KKM telah mengarahkan sekumpulan produk “Mee Kari Putih Ah Lai” keluaran tempatan ditarik balik selepas jabatan kesihatan Taipei memaklumkan ia mengandungi etilena oksida.

Radzi berkata, walaupun mi segera tersebut telah memenuhi piawaian pematuhan tempatan, penarikan balik itu dilakukan bagi memastikan keselamatan makanan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) Beninder Singh berkata, “agak memalukan” apabila negara asing mengenal pasti masalah dalam produk makanan yang dihasilkan di Malaysia.

“Kita ada satu set undang-undang yang komprehensif untuk mengawal selia keselamatan makanan, tetapi pihak berkuasa mesti meningkatkan penguatkuasaan. Pada masa ini, (penguatkuasaan) tidak mencukupi,” tambahnya.

Beliau menggesa KKM agar meningkatkan kekerapan pemeriksaan produknya, sambil menambah bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak yang melanggar piawaian keselamatan makanan.

Fa E Fa Sdn Bhd, pengeluar produk makanan tersebut yang berpangkalan di Pulau Pinang, memberitahu FMT pada Rabu bahawa pihaknya telah menghantar mi segera keluarannya itu untuk diuji dan menjangkakan keputusan akan keluar dalam masa seminggu.

Jurucakap syarikat itu berkata, kumpulan mi yang diuji oleh jabatan kesihatan Taipei itu adalah dari tahun lepas dan tidak lagi dijual dalam negara kerana stok telah habis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.