
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.
Dua kanak-kanak tersebut, Muhamad Syamil Aqil, 11 tahun, dari Kampung Perupok, Bachok, dan Nur Imani Ahmad Faris Fazli, 18 bulan, dari Kampung Kota, Kota Bharu, meninggal dunia dalam kejadian berasingan.
Media sebelum ini melaporkan Muhamad Syamil Aqil menjadi mangsa pertama strok haba apabila meninggal dunia pada 9.27 pagi Selasa semasa sedang mendapatkan rawatan di sebuah klinik.
Ibu mangsa berkata, kanak-kanak lelaki tersebut dilihat aktif berbasikal pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua, namun pada hari ketiga, dia mengalami demam biasa dan cirit birit.
Hasil bedah siasat mengesahkan anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu maut akibat strok haba dan dehidrasi.
Nur Imani menjadi korban kedua akibat cuaca panas di negeri itu, selepas dilaporkan meninggal dunia juga pada Selasa.
Bapanya berkata, seminggu sebelum kematiannya, anak tunggalnya itu sering batuk sebelum muntah-muntah.
Kanak-kanak perempuan itu dibawa Unit Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II pada Isnin, namun keadaannya dilaporkan menjadi semakin teruk sebelum meninggal dunia pada keesokan harinya.
Laporan bedah siasat yang dijalankan di hospital mendapati punca kematian Nur Imani adalah akibat strok haba, menurut bapanya.
Sebelum ini Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berlarutan sehingga Ogos, dan negeri yang paling terkesan adalah di utara dan pantai timur.