Suami isteri ditahan buat aksi ‘wheelie’

Suami isteri ditahan buat aksi ‘wheelie’

Pasangan berkenaan ditahan polis selepas video aksi mereka itu tular di media sosial.

Tangkap layar video tular menunjukkan pasangan suami isteri membuat aksi ‘wheelie’.
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri ditahan polis selepas rakaman video mereka menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial.

Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud berkata, pasangan berkenaan sebelum ini diburu polis selepas video aksi mereka itu yang dirakamkan di Jalan Pasir Puteh, Peringat tular.

Katanya, pasangan berusia 16 dan 17 tahun itu pada mulanya menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.

“Bagaimanapun hari ini, pasangan itu menyerah diri pada jam 10 pagi di IPD Kota Bharu.

“Mereka kini kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, pasangan itu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000,” katanya.

Polis pada Selasa lalu memburu seorang penunggang motosikal yang membuat aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita dan tidak memakai topi keledar.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas aksi pasangan berkenaan tular di media sosial.

“Video itu memaparkan pasangan berkenaan lengkap berpakaian baju Melayu dan baju kurung berwarna biru,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.