
Ini kerana katanya, projek penambakan mega itu yang mula dicadangkan pada 2013, tidak menjejaskan PH pada PRU14 dan PRU15.
“Pada pilihan raya 2018, kita bentangkan projek ini yang ingin kita laksanakan. Kita maklumkan kepada rakyat untuk menggunakan undi mereka bagi menyatakan pendirian berhubung projek ini.
“Dalam pilihan raya di peringkat negeri, kita menang dengan majoriti terbesar, iaitu 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Kita bukan saja menang kerusi di tapak projek, tetapi juga di kawasan sekelilingnya,” katanya merujuk DUN Bayan Lepas dan Batu Maung.
Selain kerusi DUN, PH turut memenangi kerusi Parlimen Bayan Baru dan Balik Pulau yang terletak berhampiran tapak projek itu.
“Dalam PRU 2022, kita tidak melihat hakisan dalam sokongan juga.
“Kita tidak boleh halang mana-mana pihak, sama ada badan bukan kerajaan atau ahli politik daripada mempolitikkan projek ini. Ini kerana, kita amat terbuka dengan projek ini sejak awal lagi, tiada apa yang hendak disembunyikan,” kata Chow.
Sebelum ini, projek PSI menerima tentangan hebat daripada nelayan, pencinta alam sekitar dan kumpulan pesara kerajaan G25 yang bimbang ia akan menjejaskan ekosistem marin.
Semalam, Chow dilaporkan berkata, kerajaan negeri mendapat kelulusan untuk PSI berdasarkan penilaian kesan alam sekitar baharu yang disertakan 71 syarat.
Dalam perkembangan lain, Chow berkata, PH Pulau Pinang dan Umno negeri akan membincangkan pengagihan kerusi untuk PRN pada minggu depan.
Pulau Pinang bersama Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan akan mengadakan PRN tahun ini.