
Harian Metro melaporkan, tertuduh, S Ragubalan, 46, mengaku bersalah sebaik pertuduhan di bacakan dalam bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya dengan cara menumbuk pada bahagian muka dan menghantuk kepalanya ke lantai sehingga menyebabkan kecederaan di muka, dahi, bengkak belakang kepala dan sakit pada tengkuk.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Gemas, Tampin, 24 April lalu, jam 9.15 pagi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya Yap Tsu Sheng memberitahu mahkamah, tertuduh pernah dituduh atas kesalahan sama pada 3 November 2022 dan mengaku bersalah.
Tertuduh kemudian dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,500 namun tidak serik melakukan kesalahan sama.
Kesalahan mengikut seksyen itu juga tidak menawarkan sebarang jaminan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah supaya membenarkan jaminan kerana mempunyai penyakit kencing manis dan baru bekerja hampir dua bulan.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 Mei ini bagi sebutan semula kes.