
Sabitannya di Mahkamah Persekutuan di Washington menyusuli perbicaraan yang turut menampilkan saksi berprofil tinggi, termasuk bintang Hollywood Leonardo DiCaprio dan bekas peguam negara AS Jeff Sessions.
Michel diasak teruk dalam pemeriksaan balas oleh pendakwa raya ketika memberi keterangan dalam pembelaannya sendiri.
Dia didakwa atas 10 pertuduhan konspirasi, bertindak sebagai ejen kerajaan asing, gangguan saksi dan memalsukan rekod kewangan kempen.
Pendakwa raya menuduhnya berkomplot dengan Low untuk cuba mempengaruhi pentadbiran Presiden Barack Obama dan Donald Trump.
Low yang turut menghadapi pertuduhan persekutuan berasingan di New York kerana menggelapkan USD4.5 bilion daripada 1MDB, masih bebas.
The Fugees memenangi dua Anugerah Grammy untuk album 1996 terlaris mereka “The Score”. Tetapi menjelang 2012, menurut pendakwa raya, Michel sangat memerlukan wang tunai dan menemui penyelesaian melalui Low, yang terkenal mengadakan pesta dan membayar sejumlah besar wang kepada selebriti.
Pendakwa raya berkata Michel bersetuju untuk menyalurkan kira-kira USD2 juta daripada Low ke dalam kempen pemilihan semula Obama pada 2012 sebagai pertukaran untuk menerima berjuta-juta dolar. Pendakwa raya berkata Michel menyembunyikan sumber dana itu disebabkan undang-undang pilihan raya persekutuan melarang orang asing daripada menyumbang kepada kempen AS.
Michel juga dituduh berusaha untuk meyakinkan Jabatan Keadilan era Trump untuk menggugurkan siasatan sivil dan jenayah terhadap Low berhubung skandal 1MDB dan cuba melobi kerajaan AS bagi pihak China untuk menghantar semula bilionair dan pembangkang China, Guo Wengui ke China.
Di kandang saksi, Michel berkata USD20 juta yang dibayar Low kepadanya selama sembilan bulan pada 2012 adalah untuk membantu Low bergambar dengan Obama.
Dia mengakui menggunakan sebahagian daripada wang itu untuk membayar tiga rakannya untuk menghadiri dua kutipan derma politik untuk kempen Obama 2012, tetapi menafikan berbuat demikian atas arahan Low.
“Sebaik sahaja dia memberi saya wang, itu terpulang kepada saya bagaimana untuk membelanjakannya kerana ia wang saya,” katanya kepada juri sambil menyifatkan pembayaran itu sebagai “wang percuma”.
Mengenai sama ada dia gagal mendaftar sebagai ejen asing, Michel memberitahu juri bahawa peguamnya, George Higgenbotham, tidak pernah memberitahunya ia diperlukan mengikut undang-undang.
Michel juga berkata dia menyampaikan maklumat kepada FBI tentang hasrat China untuk mengekstradisi Guo di tengah-tengah kebimbangan China bahawa Guo “didakwa perogol”, mengatakan dia “merasakan ia adalah sesuatu yang FBI perlu tahu”.
Higgenbotham, yang sejak itu mengaku bersalah atas peranannya dalam skim itu, memberitahu juri dia bertemu dengan duta China di Washington atas desakan Michel untuk meyakinkan orang China bahawa pentadbiran Trump sedang berusaha untuk mengekstradisi Guo.
Guo, yang tidak pernah diekstradisi, telah didakwa atas tuduhan penipuan yang tidak berkaitan di New York.