Mesyuarat pertama pimpinan Wanita kerajaan perpaduan perkukuh kolaborasi

Mesyuarat pertama pimpinan Wanita kerajaan perpaduan perkukuh kolaborasi

Konvensyen Wanita Perpaduan pada 14 Mei nanti juga memfokus agenda ekonomi, pembinaan negara dan peranan wanita.

Mesyuarat pertama Perundingan Wanita Kerajaan Perpaduan dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Wanita BN, Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita PH, Aiman Athirah Sabu.
PETALING JAYA:
Mesyuarat pertama Perunding Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan yang diadakan hari ini untuk memperkukuh kolaborasi dan membina rangkaian kerja wanita merentas parti.

Dalam satu kenyataan, majlis perundingan tersebut berkata Konvensyen Wanita Perpaduan yang akan diadakan pada 14 Mei nanti juga diharap dapat fokus kepada agenda ekonomi, pembinaan negara bangsa dan peranan wanita dalam konteks Malaysia Madani.

Konvensyen Wanita Perpaduan itu yang bertemakan “Malaysia Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia” akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Majlis Perundingan Pimpinan Wanita Kerajaan Perpaduan berharap, melalui konvensyen ini dapat memperkukuh agenda kerajaan perpaduan di bawah teraju Malaysia Madani.

Mesyuarat pertama perundingan Wanita Kerajaan Perpaduan telah dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Noraini Ahmad dan Pengerusi Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu.

Turut hadir dalam mesyuarat pada hari ini adalah ketua-ketua Wanita parti komponen dalam PH dan BN.

Pada 22 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata konvensyen melibatkan semua parti dalam kerajaan perpaduan akan diadakan pada 14 Mei ini di Dewan Merdeka WTCKL.

Katanya, konvensyen yang akan disertai oleh 20 parti dalam kerajaan perpaduan itu adalah untuk memperlihatkan perpaduan dalam kalangan parti gabungan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.