
“Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) akan membenarkan penghantaran Smart Glove memasuki perdagangan AS, dengan syarat importnya mematuhi undang-undang AS,” menurut kenyataan di laman sesawang CBP.
“Penghantaran sarung tangan sintetik Smart Glove yang diterima pada atau selepas 26 April 2023 tidak akan ditahan lagi di pelabuhan AS.”
CBP berkata, langkah itu terpakai kepada syarikat dalam kumpulan Smart Glove – Smart Glove Corporation Sdn Bhd, GX Corporation Sdn Bhd, GX3 Specialty Plant, Sigma Glove Industries dan Platinum Glove Industries Sdn Bhd.
Pada November 2021, Reuters melaporkan CBP mengeluarkan “Perintah Tahanan Pelepasan (WRO)” yang melarang pengimportan produk dari Smart Glove dan kumpulan syarikatnya.
Ia memetik bukti “munasabah” menunjukkan penggunaan buruh paksa di kemudahan pengeluaran syarikat itu.
CBP berkata, ia mengenal pasti tujuh daripada 11 petunjuk buruh paksa ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa dalam proses pengeluaran Smart Glove, tanpa menyatakan petunjuk khusus itu.
Dalam kenyataan CBP, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas berkata, WRO terhadap Smart Glove membuktikan usaha penguatkuasaannya mendorong tanggungjawab korporat terhadap masyarakat dan perubahan ketara dalam tingkah laku korporat.
“Usaha penguatkuasaan tanpa henti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bagi menghalang kemasukan produk yang dihasilkan dengan buruh paksa ke AS mengubah tingkah laku syarikat, menyebabkan penghapusan buruh paksa daripada rantaian bekalan,” kata Mayorkas.
Ketika ini, tiga syarikat Malaysia berada dalam senarai WRO CBP.
Selain produk pengeluar sarung tangan Supermax dan Brightway serta anak syarikat mereka, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan FGV Holdings Berhad juga tidak dibenarkan diimport ke AS.