
Beliau berkata, pimpinan kerajaan Kedah sepatutnya menerima kehadiran Anwar dan Jemaah Menteri ke majlis di Hotel Raia itu dengan penuh positif dan penuh syukur.
“Jangan kita raikan sambutan rumah terbuka Aidilfitri ini dengan rasa cemas dengan kehadiran perdana menteri dan menteri-menteri kerajaan perpaduan.
“Kita harus rasa bersyukur kerana pemimpin besar negara turun ke Kedah, jadi pimpinan kerajaan negeri diharap tidak terlepas kereta api untuk bersama rakyat dan perdana menteri pada Sabtu ini,” katanya menurut Harian Metro.
Terdahulu, perdana menteri menjemput orang ramai menghadiri rumah terbuka itu di enam negeri yang bermula di Kedah Sabtu ini dari 10 pagi hingga 2 petang.
Mahfuz yang juga naib presiden Amanah berkata, penganjuran rumah terbuka itu akan menjadi platform pemimpin negara dan menteri melihat kelebihan serta kekurangan di Kedah yang boleh ditampung Putrajaya untuk melonjakkan ekonomi negeri.
Katanya, kerajaan persekutuan sememangnya mempunyai tanggungjawab besar membantu Kedah.
“Jadi, jangan timbul kerisauan, kita mesti bersangka baik dengan kehadiran Anwar ke Kedah.
“Kita jangan ambil pendekatan yang menimbulkan kebencian, permusuhan dengan kerajaan persekutuan kerana ini satu benda tak baik untuk masa depan Kedah.”