Dituduh simpan wang suami RM300,000, wanita mengaku tak salah

Dituduh simpan wang suami RM300,000, wanita mengaku tak salah

MS Harsimran Kaur dituduh berniat curang menyimpan wang tunai milik HS Harvinder Singh iaitu sebagai harta curi.

Tertuduh MS Harsimran Kaur mengaku tidak bersalah menyimpan wang tunai suaminya berjumlah RM300,000. (Gambar Mahkamah Melaka)
PETALING JAYA:
Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas tuduhan menerima atau menyimpan harta curi iaitu wang tunai milik suaminya berjumlah hampir RM300,000, Januari lalu.

Tertuduh, MS Harsimran Kaur, 37, dari Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Dia didakwa dengan niat curang menyimpan wang tunai RM280,000 milik HS Harvinder Singh, 35, dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi, lapor Berita Harian.

Harsimran didakwa melakukan perbuatan itu di Stesen Minyak Shell, Jalan Semabok, Melaka Tengah pada 8 Jan lalu, 12.01 tengah malam.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar manakala tertuduh yang juga penganggur diwakili tiga peguam bela, Mahajoth Singh, GS Gabriel dan Navin Punj.

Wardah mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan kes selesai.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM5,000 serta menetapkan sebutan kes pada 12 Jun depan bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.