Tragedi Aidilfitri: Kanak-kanak lemas di kolam renang rumah datuk

Tragedi Aidilfitri: Kanak-kanak lemas di kolam renang rumah datuk

Polis menyiasat ibu bapa mangsa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan anak mereka tanpa pengawasan berpatutan.

Mangsa berusia 21 bulan ditemui dalam keadaan terlentang dan terapung di kolam renang rumah datuknya di Tambun.
IPOH:
Ziarah Aidilfitri sepasang suami isteri ke rumah ahli keluarga berakhir tragedi apabila anak perempuan mereka berusia 21 bulan lemas dalam kolam renang rumah datuknya di Tambun semalam.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata kejadian dipercayai berlaku pada 8.45 malam, selepas bapa kanak-kanak itu menjumpai mangsa dalam keadaan terlentang dan terapung dalam kolam renang.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit bersama ibu bapanya masing-masing berusia 31 dan 33 tahun menziarahi ahli keluarga mereka di sebuah rumah lot dimiliki datuk mangsa.

“Bapa mangsa kemudiannya menghantar mangsa ke sebuah hospital swasta, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian akibat lemas.

Sehubungan itu, ibu bapa mangsa disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001, iaitu membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan berpatutan.

“Justeru, polis ingin memberi nasihat dan peringatan kepada orang awam, khususnya ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan berpatutan bagi mengelakkan berlakunya sebarang tragedi tidak diingini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.