PN khuatir rumah terbuka di 6 negeri guna jentera kerajaan

PN khuatir rumah terbuka di 6 negeri guna jentera kerajaan

Timbalan setiausaha PN berkata, rumah terbuka di enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini bermotifkan politik.

Takiyuddin Hassan menuntut Putrajaya memberi jaminan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan tidak akan berlaku sepanjang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di enam negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) bimbang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kerajaan pusat di enam negeri mungkin berlaku penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan.

Timbalan Setiausahanya, Takiyuddin Hassan, berkata rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April ini dan berakhir di Selangor pada 14 Mei bermotifkan politik.

“Jika dilihat dari sudut mana pun, keputusan Putrajaya ini jelas berlebih-lebihan dan keterlaluan, malah kelihatan terlalu gelojoh dan sangat menjolok mata, selain tidak wajar dipertahankan.

“Enam majlis sambutan Hari Raya di enam negeri yang bakal menghadapi PRN tentulah akan mencetuskan persoalan mengenai motif dan tujuan ia diadakan.

“Ini kerana ia tidak lagi boleh dipisahkan daripada motif politik dan persaingan pengaruh menjelang PRN yang bakal berlaku beberapa bulan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Rumah terbuka Aidilfitri akan diadakan di Kedah pada 29 April ini, Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (21 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.

Kelmarin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi dilaporkan berkata, tidak salah Putrajaya mengadakan rumah terbuka di enam negeri yang disifatkan untuk memperluaskan hubungan ke akar umbi.

“Sebab itu semua wakil rakyat dan menteri besar mengadakan rumah terbuka. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya?” katanya di Facebook.

Takiyuddin yang juga ketua whip PN menuntut Putrajaya memberi jaminan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan tidak akan berlaku sepanjang penganjuran rumah terbuka itu.

Beliau berkata, sambutan itu juga melanggar konvensyen dan adab hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dari segi wibawa serta bidang kuasa masing-masing.

“Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua pihak.”

Mengenai pembatalan saat akhir slot takbir raya PN di TV3 pada 21 April lalu, Takiyuddin mendesak pengurusan stesen televisyen itu dan kerajaan jujur mengenainya, serta menafikan berlakunya campur tangan politik.

“Alasan ‘masalah teknikal’ sebagai punca pembatalan amatlah janggal dan tidak boleh diterima.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.