
Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit.
Ketika Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata pesakit menunjukkan simptom ringan dan berada dalam keadaan stabil, subvarian Omicron terbaru itu dipercayai menyebabkan lonjakan jangkitan di negara seperti India.
FMT melihat lebih dekat sama ada ia membimbangkan.
Apa itu Arcturus?
XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus, ialah subvarian daripada varian Omicron XBB dan mula dikesan secara global pada Januari.
Menurut covSpectrum.org, laman web khusus untuk membantu saintis menyiasat dan mengenal pasti varian Covid-19, Arcturus telah dikesan di Malaysia pada awal Mac, dan telah dilaporkan di lebih separuh negeri di negara ini.
Menurut pakar, beberapa simptom Arcturus termasuk demam tinggi, batuk dan konjunktivitis atau mata merah.
Sejauh mana ia membimbangkan?
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorikan XBB.1.5 dan Arcturus sebagai varian minat (VOI), bermakna varian yang mungkin mempunyai kesan ketara terhadap kebolehjangkitan.
Memetik kajian epidemiologi oleh Jepun, pakar virologi Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Kumitaa Theva Das berkata Arcturus adalah 1.2 kali lebih mudah berjangkit daripada XBB.1.5, yang dilaporkan berjangkit lebih cepat daripada varian lain seperti Delta dan subvarian Omicron yang lain.
“Kadar jangkitan Arcturus menunjukkan bahawa ia mungkin mengatasi varian tertentu dalam prevalen. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk diperhatikan bahawa nampaknya tidak ada tanda-tanda peningkatan keterukan. Kes kita masih terkawal,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah bahawa warga tua, mereka yang mempunyai komorbiditi dan yang lemah sistem imun akan mendapat manfaat daripada mendapatkan suntikan dosa penggalak mereka.
“Ini kerana imuniti berkurangan lebih cepat pada individu ini, dan dengan dos penggalak ia akan meningkatkan perlindungan terhadap keterukan. Dos penggalak bivalen, direka untuk melindungi daripada varian Omicron termasuk XBB, telah terbukti memberikan perlindungan berpanjangan,” katanya.
Adakah vaksin masih berkesan?
Pakar perubatan kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata vaksin itu masih berfungsi dan memberi perlindungan terhadap virus berkenaan.
“Mereka yang masih belum mendapat suntikan penggalak harus berbuat demikian atau sekurang-kurangnya melengkapkan jadual imunisasi mereka,” katanya sambil menambah orang ramai perlu berwaspada kerana terdapat varian baharu Covid-19.
Zainal turut menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan SOP Covid-19 seperti memakai pelitup muka di dalam dan di luar rumah, walaupun tidak lagi diwajibkan, menjaga penjarakan fizikal dan mengamalkan kebersihan yang baik bagi mengelak dijangkiti.
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkongsi sentimen yang sama dan menggesa mereka yang berisiko tinggi untuk mempertimbangkan untuk mendapatkan dos penggalak mereka.
“Kita hanya perlu menerima hakikat bahawa virus itu masih ada dalam kalangan kita. Kehidupan perlu diteruskan seperti biasa, tetapi semua orang harus mengekalkan gaya hidup sihat dan aktif untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.