
Setiausaha Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mageswari Sangaralingam, berkata pihaknya juga kecewa dengan kerajaan baharu apabila meluluskan projek itu yang dilihat tidak mengendahkan bantahan komuniti nelayan.
“Kami kecewa kerana projek itu diluluskan walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan oleh nelayan termasuk Pen Mutiara, dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang serta semua unit perkampungan nelayan di sini.
“Kami juga mengemukakan bantahan, sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, projek itu mendapat kelulusan akhir daripada pengawal selia alam sekitar persekutuan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan itu diberikan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dengan 71 syarat bawah pelan pengurusan alam sekitar terperinci.
Projek itu sebelum ini mendapat tentangan hebat daripada nelayan, pencinta alam sekitar dan kumpulan pesara kerajaan G25 atas kebimbangan ia akan menjejaskan ekosistem marin.
Dalam pada itu, Mageswari berkata, satu aspek penting yang ditinggalkan semasa menilai skala impak projek ialah kesan perlombongan pasir dan bahan isian lain seperti batu.
Beliau berkata, projek dicadangkan terdiri daripada tiga pulau tebus guna dengan keluasan keseluruhan 4,500 ekar (1,821.1 hektar) memerlukan bahan isian dianggarkan 207,000,000 meter padu.
“Jumlah isi padu batuan diperlukan untuk pembinaan revetment sebagai perlindungan tepi pulau tebus guna ialah 4,500,000 meter padu.
“Gesaan kami bahawa kesan alam sekitar dalam perolehan pasir dan batu untuk projek ini mesti diambil kira sebagai kesan kumulatif aktiviti berkaitan juga tidak dipertimbangkan,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri dan persekutuan memburukkan lagi ketidakadilan alam sekitar dan sosial dengan meneruskan projek itu.