
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata kerja pemasangan cerucuk besi akan dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) selewat-lewatnya 28 April ini.
Katanya, untuk perancangan fasa satu, pasukan teknikal akan memasang cerucuk besi di kawasan tanah runtuh di hadapan pondok pengawal keselamatan dan membina laluan bagi membolehkan 50 kenderaan terdiri kereta, motosikal dan bas dibawa keluar dari kawasan itu.
“Bagi fasa kedua, kerja pemasangan cerucuk akan dilaksanakan di keseluruhan kawasan runtuhan, yang dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau turut memberitahu pergerakan tanah dikesan masih berlaku sehingga 1m dari keluasan runtuhan awal, sekitar 1.50 tengah hari semalam.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat pasukan teknikal runtuhan terdiri polis, JKR, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, kejadian berlaku akibat kebocoran paip yang dibina sejak 40 tahun lalu.
“JKR akan memasang 10 alat mengesan pergerakan tanah di 10 titik panas di SPRM. Ia akan menghantar isyarat jika ada pergerakan tanah sepanjang kerja pemasangan cerucuk dilakukan.
“Jika ada pergerakan tanah, petugas akan dipindahkan ke kawasan selamat dan kerja pemasangan cerucuk serta baik pulih akan dihentikan,” katanya.