
Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata “budaya” menawarkan diskaun untuk saman mengurangkan impak penguatkuasaan undang-undang.
“Tiada siapapun akan menghormati undang-undang jika mereka tahu bahawa kerajaan akhirnya akan memberikan diskaun,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, kerajaan melihat saman sebagai kaedah meraih pendapatan dan bukannya penalti bagi mereka yang melanggar undang-undang. Bagaimanapun, katanya, saman sepatutnya bersifat tegas supaya mengekang pesalah melanggar peraturan.
Law berkata, sistem demerit yang kini digunakan juga wajar dikuatkuasakan dengan lebih meluas untuk mengekang kesalahan jalan raya.
Katanya, kesukaran akibat lesen memandu digantung atau ditarik balik mampu menjadi pengajaran yang memastikan pematuhan peraturan lalu lintas.
Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud, ahli bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) berkata, pemberian diskaun bagi saman lalu lintas tidak diamalkan di negara maju.
Beliau bersetuju dengan Law supaya sistem demerit patut lebih dikuatkuasakan.
Katanya, ia akhirnya bergantung kepada kemahuan pihak berkuasa.
“Di UK, orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas kerana sedar walaupun mampu membayar saman, mereka tidak dapat mengelak sistem markah demerit.
“Jadi orang kaya sekalipun tidak sanggup melanggar peraturan kerana tahu sebaik kehilangan markah kerana kesalahan dilakukan, lesen mereka akan ditarik balik atau dibatalkan pihak berkuasa.”
Minggu lalu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata 146,261 markah demerit dikenakan terhadap pengguna jalan raya dari Januari 2022 hingga 5 April lalu. Kira-kira 412 digantung lesen untuk kali pertama, 75 untuk kali kedua, manakala tujuh buat kali ketiga.
Pada 18 April, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan diskaun khas sebulan untuk saman lalu lintas diberi polis dengan kadar khas RM50 bagi kesalahan dilakukan sebelum 2023.
Polis dan JPJ kerap menawarkan diskaun bagi saman lalu lintas, lazimnya pada hujung tahun. Pada Mac, polis menawarkan diskaun 60% bagi semua saman lalu lintas dari 20 hingga 31 Mac sempena Hari Polis.
JPJ turut menawarkan diskaun 80% selama dua minggu pada Disember 2021.