Data daripada pencerobohan IT diterbit di ‘dark web’, kata AKPK

Data daripada pencerobohan IT diterbit di ‘dark web’, kata AKPK

AKPK menjangkakan lebih banyak lagi data peribadi pelanggan akan didedahkan.

AKPK pada 30 Mac lalu berkata, pelayan yang menyimpan data pelanggan mungkin diakses tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memberitahu, sebahagian data yang dicuri ketika pencerobohan ke atas sistem teknologi maklumatnya (IT) pada bulan lalu kini diterbitkan dalam laman sesawang gelap hari ini.

AKPK dalam satu kenyataan berkata, data kira-kira 20 pelanggan membabitkan maklumat peribadi seperti nama dan nombor MyKad didedahkan.

“Kami bersedia dan menjangkakan penjenayah itu untuk menyiarkan lebih banyak maklumat pelanggan lagi seperti nama dan nombor MyKad,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, AKPK berkata, pelayan yang menyimpan data pelanggan mungkin diakses tanpa kebenaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Agensi itu berkata, penyebaran data itu adalah satu jenayah.

Kata AKPK, agensi itu bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasa dan pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital dan CyberSecurity Malaysia dalam siasatan kes tersebut.

“Kami juga berusaha untuk mengenalpasti secara spesifik maklumat apa yang diakses secara haram dan memaklumkan kepada pelanggan yang terkesan,” katanya.

AKPK berkata sebahagian operasi sistem akan ditutup sementara untuk mengelak diceroboh lagi.

“Operasi sistem kami akan dikembalikan secara beransur-ansur selepas ia selamat berbuat demikian. Pada masa ini, kami sudah melaksanakan pengaturan operasi sesuai supaya pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan daripada kami selancar mungkin,” katanya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.