Rayuan 4 bekas Adun cabar undang-undang anti-lompat didengar minggu depan

Rayuan 4 bekas Adun cabar undang-undang anti-lompat didengar minggu depan

Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan empat bekas Adun Pulau Pinang terhadap usul DUN untuk mengosongkan kerusi mereka.

(Dari kiri) Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Zolkifly Md Lazim berhujah bahawa DUN Pulau Pinang tidak kompeten untuk meluluskan enakmen anti-lompat.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan empat bekas ADUN Pulau Pinang yang mencabar kesahihan usul yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memaksa mereka mengosongkan kerusi.

Tarikh pendengaran rayuan, yang menamakan DUN dan speakernya, Law Choo Kiang, sebagai responden, dijangka ditetapkan semasa pengurusan kes yang dijadualkan diadakan minggu depan.

Peguam A Surendra Ananth, yang mewakili speaker, berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Tiong Wen Wen, menangguhkan pengurusan kes bekas Adun Bersatu bagi Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim, yang diadakan pagi ini.

Tiong berbuat demikian selepas mengetahui Dr Afif Bahardin (bekas Adun Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) turut memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang sama.

Rayuan ketiga-tiga mereka dijadualkan untuk pengurusan kes pada 5 Mei.

“Pengurusan kes seterusnya dalam rayuan Zulkifli akan diadakan pada hari yang sama, dan pendengaran bersama untuk keempat-empat rayuan mungkin akan ditetapkan pada tarikh itu,” kata Surendra kepada FMT.

Peguam, Shu Ivy mewakili Zulkifli hari ini.

Pada 20 Jan, Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Arshad menolak saman yang dikemukakan oleh empat bekas wakil rakyat itu.

Azizan berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun lalu bahawa enakmen anti-lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Beliau juga memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan usul oleh DUN dan speaker terhadap keempat-empat Adun berkenaan.

“Itu terletak di bawah bidang kuasa dewan undangan negeri,” katanya.

Pada 6 Mac, DUN Pulau Pinang meluluskan usul untuk mengosongkan empat kerusi itu atas alasan bahawa keempat-empat Adun terbabit telah melanggar undang-undang anti lompat negeri.

Kesemua telah bertanding dan menang menggunakan logo PKR atas tiket Pakatan Harapan pada Mei 2018.

Keempat-empat Adun berkenaan memfailkan writ saman pada 2020 terhadap DUN Pulau Pinang dan Speaker Law Choo Kiang bagi mencabar usul dibentang pada Okt 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.