Rashdan Yusof letak jawatan timbalan pengarah urusan Gamuda

Rashdan Yusof letak jawatan timbalan pengarah urusan Gamuda

Ini berikutan kebimbangan konflik berkepentingan selepas pelantikannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

Rashdan Yusof telah menjadi timbalan pengarah urusan Gamuda Bhd sejak 1 Mei 2018. (Gambar Gamuda)
PETALING JAYA:
Rashdan Yusof meletak jawatan sebagai timbalan pengarah urusan Gamuda Bhd, berikutan kebimbangan konflik kepentingan selepas pelantikannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

Gamuda dalam kenyataan mengumumkan bahawa Rashdan telah melepaskan semua jawatan pengarah berkuat kuasa hari ini dan menghantar notisnya sehingga 30 Jun.

“Kumpulan itu merakamkan ucapan selamat kepada Rashdan untuk usaha masa depannya, termasuk untuk peranannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Tenaga.

“Rashdan memberi jaminan kepada lembaga pengarah bahawa terdapat pematuhan penuh terhadap semua peruntukan konflik kepentingan seperti yang dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Tenaga (Akta 610) dan tadbir urus yang baik dipatuhi dalam semua perbincangannya di Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Gamuda berkata Rashdan berperanan besar dalam pengambilalihan Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd ke atas pemegang konsesi untuk Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan lebuh raya SMART.

Rashdan menjadi timbalan pengarah urusan Gamuda sejak 1 Mei 2018. Beliau dilantik sebagai pengarah ganti kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Lin Yun Ling, pada 28 Sept tahun yang sama.

Gamuda berkata Ha Tiing Tai kekal sebagai timbalan pengarah urusan, setelah memegang jawatan itu sejak Jun 2012.

Pemain industri dan perniagaan telah menyatakan kebimbangan terhadap pelantikan Rashdan memandangkan Gamuda mempunyai kepentingan dalam perniagaan tenaga boleh diperbaharui.

Disember lalu, syarikat itu mengumumkan bahawa ia membelanjakan RM2 bilion untuk mengembangkan perniagaan tenaga boleh diperbaharuinya. Setakat ini, ia telah memperoleh 30% kepentingan dalam ERS Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam tenaga solar.

Ahli ekonomi Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak juga memberi amaran kepada Putrajaya bahawa keyakinan pelabur akan dilemahkan oleh pertikaian berhubung pelantikan itu, sambil berkata ia mesti konsisten apabila membuat pelantikan ke badan kawal selia utama.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan pelantikan Rashdan, berkata beliau mahu Rashdan merombak pendekatan pengawal selia terhadap peralihan tenaga.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya berkata beliau akan meneliti pelantikan Rashdan dan sepatutnya tidak berlaku sebarang konflik kepentingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.