
PETALING JAYA: Bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam selamat menjalani pembedahan otak selepas dimasukkan ke hospital akibat terjatuh ketika berkebun minggu lalu.
Perkara itu dikongsikan bekas pengerusi bukan eksekutif Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMP), Nazir Razak di Instagram hari ini.
“Menziarahi Musa Hitam di hospital hari ini. Beliau jatuh semasa berkebun seminggu lalu dan memerlukan pembedahan di otaknya.
“Beliau menghabiskan waktu hari jadinya ke-89 di atas meja bedah. Secara keseluruhannya proses pemulihannya sangat ajaib setakat ini,” katanya.
Katanya, keadaan bekas timbalan presiden Umno itu semakin pulih dan sudah boleh berjenaka seperti dulu.
“Mari kita sama-sama mendoakan beliau sembuh dengan sepenuhnya, boleh kembali bermain golf dan sebagainya,” katanya.