Jangan ambil mudah PRN, Adun PH beritahu pengundi P Pinang

Jangan ambil mudah PRN, Adun PH beritahu pengundi P Pinang

Adun Pulau Tikus Chris Lee memberi amaran kepada pengundi supaya tidak menganggap kemenangan Pakatan Harapan adalah sesuatu yang pasti.

Seorang penganalisis memberi amaran ‘gelombang hijau’ PN boleh menggagalkan harapan PH untuk membentuk kerajaan negeri berbilang kaum di Pulau Pinang.
PETALING JAYA:
Seorang Adun Pakatan Harapan (PH) menggesa rakyat Pulau Pinang tidak mengambil mudah PRN akan datang kerana kebangkitan sokongan “gelombang hijau” terhadap Perikatan Nasional (PN) boleh menggagalkan PH membentuk kerajaan negeri berbilang kaum.

Adun Pulau Tikus, Chris Lee, berkata pengundi tidak boleh menganggap PH sudah tentu boleh menang di Pulau Pinang kerana apa sahaja boleh berlaku pada PRN kali ini.

Dalam kenyataan, beliau berkata, PH tidak boleh terlalu yakin memenangi pilihan raya atau tidak lagi memerintah Pulau Pinang untuk lima tahun akan datang.

“Tiada siapa meramalkan PH menang PRU14 pada 2018 tetapi kami menang. Tiada yang pasti dalam pilihan raya, dan kini Pulau Pinang memerlukan anda,” katanya sambil menggesa rakyat Pulau Pinang keluar beramai-ramai mengundi PH menjelang PRN.

Sebelum ini, FMT memetik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura sebagai berkata, PN berkemungkinan memenangi semua atau sebahagian besar kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Penganalisis politik itu berkata, ini akan menyukarkan PH dan Barisan Nasional membentuk kerajaan negeri berbilang kaum di Pulau Pinang seperti dibayangkan Ketua PH negeri Chow Kon Yeow.

DAP menerajui kerajaan negeri selama tiga penggal sejak 2008.

Di DUN Pulau Pinang, PH menguasai 33 kerusi melalui DAP (19), PKR (12) dan Amanah (2) manakala BN mempunyai dua kerusi melalui Umno. Satu-satunya ahli pembangkang adalah daripada PAS. Empat kerusi diisytiharkan kosong.

Bulan lalu, sumber PN memberitahu FMT gabungan itu mungkin bertanding di 15 kerusi, di mana 14 daripadanya majoriti Melayu.

Selain Pulau Pinang, PRN diadakan tahun ini di Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.