4 pengsan dalam MPV di Tol Bentong kerana kurang oksigen, kata polis

4 pengsan dalam MPV di Tol Bentong kerana kurang oksigen, kata polis

Empat individu didapati tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan di Plaza Tol Bentong petang tadi.

Sebuah MPV melanggar pintu Plaza Tol Bentong petang tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Empat individu didapati tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Plaza Tol Bentong petang tadi kerana kekurangan oksigen dalam badan.

Menurut laporan Buletin TV3, Ketua Polis Bentong, Zaiham Mohd Kahar, berkata kejadian menyebabkan kenderaan terbabit melanggar pintu tol tersebut.

Katanya, semua mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor.

Terdahulu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Facebook memaklumkan kejadian 2.40 petang itu melibatkan seorang lelaki, seorang wanita, dan dua kanak-kanak.

“Semua mangsa yang pengsan dibawa ke Hospital Bentong dengan menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

JSPT menasihati orang ramai supaya memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan mengambil rehat secukupnya sebelum memandu berikutan cuaca panas terik dan hujan tidak menentu.

Sementara itu, seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai anak sulung keluarga terbabit memaklumkan semua mangsa sudah sedarkan diri.

“Punca pengsan dipercayai disebabkan keracunan oksigen penghawa dingin kenderaan.

“Saya berterima kasih kepada semua anggota dan orang ramai yang membantu keluarga saya. Allah membalas jasa kalian,” kata Syafiq Mok di ruangan komen Facebook Polis Bentong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.